Sekapur Sireh dari Guru Besar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Salam Malaysia MADANI,
Salam SeDAMai D’Hati,
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita diberi ruang dan peluang untuk terus melaksanakan amanah mendidik serta membimbing generasi pewaris negara. Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya menerima tanggungjawab untuk berkhidmat sebagai Guru Besar di sekolah ini, dan tahun ini merupakan tahun pertama saya berada di sini bersama-sama warga sekolah yang komited, berpengalaman dan berdedikasi tinggi.

Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa kehadiran saya bukan untuk mengubah apa yang telah baik, sebaliknya meneruskan, memperkukuh dan memperkasa legasi kecemerlangan yang telah dibina oleh barisan kepimpinan serta warga sekolah terdahulu. Segala amalan terbaik, budaya kerja positif dan pencapaian cemerlang yang telah dicapai akan terus dijadikan asas kukuh dalam melonjakkan prestasi sekolah secara berfokus, berperingkat dan berterusan.

Buku pengurusan ini juga berfungsi sebagai rujukan utama kepada semua warga sekolah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara terancang, sistematik dan berintegriti. Oleh itu, semua warga sekolah disarankan agar membaca, memahami dan meneliti kandungan buku ini supaya setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan serta profesionalisme. Anggaplah setiap tugas yang diamanahkan sebagai satu ibadah yang perlu dilaksanakan dengan sabar, amanah dan bersungguh-sungguh.

Selaras dengan hasrat untuk merealisasikan Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik dan Negara Sejahtera, saya berharap seluruh warga sekolah dapat terus menggembeling tenaga, menyatukan pemikiran serta memperkukuh semangat kerja berpasukan. Amalan terbaik sekolah hendaklah diteruskan secara konsisten, berhemah dan realistik agar kecemerlangan yang dicapai bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan demi kemenjadian murid dan keberkesanan organisasi.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama melangkah sederap dan seiring menuju ke arah sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang, berpaksikan nilai profesionalisme, integriti dan budaya kerja cemerlang, selari dengan semangat Malaysia MADANI dan motto SeDAMai D’Hati.

“Pendidik Cemerlang, Murid Terbilang dan Sekolah Gemilang”

#SeDAMaiDHati

Sekian, terima kasih.


SAZALI BIN ISMAIL
Guru Besar
SK Desa Amanpuri.