Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan
cuaca yang di luar jangkaan. Cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat. KPM telah memberi peringatan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
i. Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas;
ii. Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas;
iii. Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan;
iv. Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri;
v. Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan;
vi. Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman; dan
vii. Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid/pelajar dan warga institusi pendidikan. KPM mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.